Wednesday, July 21, 2010

Promosi Sudah Bermula


21 Julai, Universiti Malaya : Walaupun minggu promosi belum bermula, namun persiapan dan promosi setiap persatuan dan kelab pelajar di sini kelihatan rancak. Tiap mereka membuat persediaan yang hebat untuk mengajak seluruh mahasiswa menyertai mereka.

Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya akan mengadakan Program Minggu Promosi Badan Pelajar 2010 (PROMO 10’) pada 26 - 29 Julai 2010, bertempat di Tempat Letak Kenderaan, Kompleks Perdanasiswa, Universiti Malaya. Pameran ini akan berlangsung selama 4 hari bermula 26 - 29 Julai 2010, jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang.

“PEMARAK akan terus mengutamakan kebajikan mahasiswa Perak tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan demi pembangunan masa depan mahasiswa.” kata Presiden Persatuan Mahasiswa Perak (PEMARAK), Muhammad Syafaat b. Mohd Azli.

“Kami pimpinan PERMADAH kali ini akan berusaha untuk menjadikan PERMADAH persatuan paling aktif di Universiti Malaya dengan pelbagai program menarik yang bakal menanti seluruh ahli PERMADAH.” tegas Mohd Afifi B. Ismail yang juga Bendahari Persatuan Mahasiswa Kedah (PERMADAH).

Seluruh mahasiswa pasti ternanti-nanti promosi setiap persatuan dan kelab yang terdapat di sini.

“Saya ingin melihat apakah kelainan dan perbezaan yang akan ditunjukkan setiap badan pelajar kepada mahasiswa dalam Minggu PROMO kali ini” jawab Nur Raihanah Borhan, Mahasiswa Tahun Dua Fakulti Bahasa dan Linguistik ketika ditanya wakil UMtoday.

“Saya sudah pun menerima risalah promosi dan jemputan daripada PMIUM dan Kelab Fasilitator untuk mendaftar pada PROMO 10’ nanti.” kata Ahmad Idham B. Ahmad Fauzan, Mahasiswa Tahun Satu Akademi Pengajian Melayu.

UMtoday mengajak semua mahasiswa untuk turun padang ke Tempat Letak Kenderaan, Kompleks Perdanasiswa, Universiti Malaya pada 26 – 29 Julai 2010 untuk mendaftarkan diri dalam persatuan dan kelab yang berdaftar di sini. - UMtoday

No comments:

Post a Comment