Monday, July 12, 2010

PENDAKWARAYA GAGAL BUKTIKAN; TERTUDUH DIBEBAS MAJESTRAIT


Kuala Lumpur- Mahkamah Majestrait 4 pagi ini memutuskan bahawa Mohamad Izzuddin Hilmi Bin Mohamad Zaini, salah seorang dari 5 tertuduh dalam kes contengan Puaka Rosmah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya tahun lepas dibebas tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.


Hakim berkenaan, Puan Hafizza Binti Sauni memutuskan perkara tersebut pada jam 10.15 pagi tadi apabila berpuas hati bahawa pihak pendakwaraya gagal membuktikan wujudnya prima facie perbicaraan tersebut. Perbicaraan yang telah berlangsung pada 24 dan 25 Jun lepas telah memanggil 5 orang saksi bagi membantu pihak pendakwaan membuktikan tuduhan tersebut.

Mangikut keterangan yang diberi tertuduh dipercayai menunggang motorsikal yang dipercayai milik beliau dalam keadaan yang mencurigakan apabila nombor pendaftaran motorsikal tersebut digelapkan. Tertuduh ditahan di hadapan kolej kediaman ke 12 oleh beberapa pengawal keselamatan yang bertugas pada malam itu.

Berikut penahanan tersebut, tertuduh telah diserahkan ke pihak polis untuk direman selama seminggu. Tertuduh juga direman bagi membantu siasatan berhubung kes contengan serta simbahan minyak petrol di laluan masuk Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada 24 Jun 2009.

Bagi tuduhan menggelapkan nombor pendaftaran motorsikal, beliau bersama-sama seorang rakan iaitu Mohd Shahruldeen Bin Ahmad Rosli telah dihadapkan ke Mahkamah Majestrait 4 pada 1 Julai 2009. Tuduhan dibacakan di bawah Seksyen 14(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan dan boleh dihukum denda maksimum RM300.

Namun pada tarikh 24 Jun 2010 iaitu genap setahun kes tersebut berlaku, pihak pendakwaraya bersetuju menggugurkan pertuduhan terhadap tertuduh kedua, Mohd Shahruldeen Bin Ahmad Rosli atas alasan tiada sebarang bukti yang dapat dikaitkan terhadap beliau. Perbicaraan diteruskan terhadap tertuduh pertama iaitu Mohamad Izzuddin Hilmi.

Bagi tuduhan contengan serta simbahan petrol, mereka beserta 3 tertuduh yang lain iaitu Syazni Munir Bin Mohh Ithnin, Mohd Aizat Bin Roslan dan Mohd Saufi Bin Jelani dituduh di Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang membawa hukuman dua tahun penjara, Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan mengakibatkan maksimum 10 tahun penjara dan Seksyen 447 iaitu kesalahan melakukan pencerobohan jenayah.

Sepanjang perbicaraan di Mahkamah Majestrait, pihak pendakwaan gagal dalam membuktikan kesalahan menggelapkan nombor pendaftaran kenderaan tersebut dilakukan oleh tertuduh. Begitu juga Pegawai Penyiasat yang mengaku cuai dalam menyimpan nombor pendaftaran yang didakwa digelapkan sehingga menyebabkan bukti utama dalam perbicaraan tersebut hilang dalam simpanan.

Ketika ditanya kepada Encik Arfizi Bin Ramli selaku peguambela, beliau mengatakan terdapat beberapa perkara yang turut disangsikan oleh mahkamah sepanjang perbicaraan.

Antara yang ditimbulkan ialah penahanan secara tidak sah oleh pengawal keselamatan yang tidak mempunyai kuasa menahan pesalah trafik. Turut juga ditimbulkan percanggahan yang ketara antara laporan polis yang dibuat oleh pengadu dengan keterangan yang dirakam di mahkamah.

Menurut Izzuddin Hilmi tertuduh utama yang telah dibebaskan, keputusan Mahkamah majestrait pada hari ini yang telah menggugurkan satu dari empat pertuduhan terhadap mereka merupakan kemenangan pertama mereka dalam perbicaraan ini.

Perbicaraan yang terhadap 3 lagi tuduhan akan diteruskan di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 pada 28 Julai ini.

Sumber: izzudinhilmi.blogspot.com















No comments:

Post a Comment