Friday, July 23, 2010

'Nantikan kuliah seterusnya.' - Ustaz Syazwan

23 Julai, Universiti Malaya : Kuliah Mega Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) telah bermula hari ini, Jumaat di Surau Akademi Pengajian Islam UM (APIUM). Kuliah ilmu yang bertajuk 'Peribadi Muslim Unggul' itu dihadiri seramai lebih 200 orang mahasiswa dari pelbagai fakulti yang bermula sebaik sahaja selesai solat maghrib di surau tersebut.

Ahmad Syazwan Muhammad Hassan dalam kuliahnya menegaskan bahawa setiap dari kita harus sedar betapa pentingnya kita menuntut ilmu dan beramal dengannya serta tahu apa tugas kita selaku hamba dan khalifah. Tambahnya lagi, kita haruslah mengamalkan setiap yang diajar oleh Islam bukan sahaja ibadat umum dan khusus malahan meliputi seluruh aspek kehidupan duniawi kita.

Kehadiran ramai mahasiswa dalam kuliah tersebut dilihat satu perkara positif dalam usaha PMIUM untuk sama-sama mengajak seluruh mahasiswa sama-sama 'amar ma'ruf wa nahi munkar' iaitu menyeru kepada perkara baik dan mencegah perkara kemungkaran selain meneruskan lagi Kempen Etika Berpakaian.

"Ini baru permulaan, saya menyeru kepada sahabat-sahabat sekalian untuk hadir pada Kuliah Mega Presiden PMIUM seterusnya. Nantikannya.", kata Ahmad Syazwan di akhir pengisian kuliahnya.

Read more.....

PMIUM Rakam Tahniah Kepada Dua Pemimpin Negara


23 Julai, Universiti Malaya: Persatuan Mahasiswa Islam Universtiti Malaya (PMIUM) menerusi Setiausahanya, Mohd Syafiq Badrishah merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia ke-6, Datuk Seri Utama Najib Tun Abdul Razak yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-57 hari ini, 23 Julai 2010. Datuk Seri Najib lahir pada 23 Julai 1953, 4 tahun sebelum tanah air tercinta merdeka.

“Saya mewakili PMIUM merakamkan ucapan tahniah kepada PM Najib atas ulang tahun kelahirannya dan kami mendoakan agar Datuk Seri panjang umur dan dirahmati Allah s.w.t. sepanjang kehidupan Datuk Seri.”, kata Mohd Syafiq Badrishah yang juga Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Sesi 2009/2010.

Sementara itu, Presiden PMIUM, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan merakamkan jutaan tahniah kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah menerima seorang menantu lelaki Sabtu lalu. Puteri bongsu beliau, Nik Asma’ Salsabila Nik Abdul Aziz selamat diijabkabulkan dengan pilihan hatinya, Asyraf Zainuddin yang berasal dari Terengganu.

Majlis yang dihadiri ramai tetamu dari pelbagai agama, bangsa dan kaum itu diraikan di Masjid Pulau Melaka, bersebelahan rumah Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Pernikahan itu dinikahkan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan itu.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana menerima seorang menantu untuk puteri bongsunya itu dan semoga kedua mempelai itu berkekalan hingga akhir hayat serta sentiasa dilindungi Allah.”, ujar Ahmad Syazwan yang berasal dari Kelantan.

Nik Asma’ lepasan Ijazah dalam bidang undang-undang di Universiti Al-Azhar Mesir, manakala suaminya juga berkelulusan diperingkat Ijazah dalam bidang Syariah di Jordan. Ahmad Asyaf juga anak kepada pemaju perumahan terkenal di Terengganu. - UMtoday

Read more.....

Thursday, July 22, 2010


22 Julai, Universiti Malaya: Pihak Pengurusan Perpustakaan Universiti Malaya telah menganjurkan satu program untuk menarik minat mahasiswa berkunjung ke perpustakaan. Langkah ini bertepatan dengan situasi mahasiswa sekarang yang dikatakan hanya gemar berkunjung ke perpustakaan pada musim peperiksaan sahaja.

Program yang dinamakan "UM Library Carnival (My Library in My Heart)" itu akan berlangsung pada 22 hingga 23 Julai 2010, Khamis hingga Jumaat. Karnival itu bermula pukul 9.00 pagi hari Khamis hingga 5.00 petang hari Jumaat bertempat di Perpustakaan Universiti Malaya.

Antara program atau aktiviti yang disediakan adalah Kempen Derma Darah, Senam Aerobik, Cabutan Bertuah, Pameran Perpustakaan, Diskaun Buku 50% dan pelbagai lagi aktiviti lain yang menarik.

Seluruh mahasiswa dan pensyarah Universiti Malaya dijemput hadir untuk memeriahkan lagi karnival ini.








Read more.....

Mahasiswa Baru Dipukau 'Afrika'


22 Julai, Universiti Malaya : Seorang mahasiswa baru Fakulti Ekonomi, saudara Mohamad Saifuddin bin Bahar telah dipukau seorang warga 'afrika' sehingga mengalami kerugian hampir RM 1000.00.

Kejadian berlaku pada hari isnin lalu bertempat di CIMB Universiti Malaya apabila mangsa didatangi seorang warga afrika dan meminta bantuan kewangan dalam keadaan terdesak. Suspek mengatakan bahawa dia sangat memerlukan wang kerana tertinggal barang di KLIA.

Pada awalnya mangsa mengalami masalah komunikasi dengan suspek, kemudian suspek menulis di atas kertas di dalam bahasa inggeris untuk memudahkan komunikasi dengan mangsa.

Suspek mendakwa diri dengan nama sebagai 'Hafiz Muhamad' seorang warganegara negara Kanada dan menginap di kolej kediaman 12 dibilik bernombor B 203. Walaubagaimana pun, ketika ditinjau didapati bilik itu dihuni oleh mahasiswa asasi Pasum.

Mangsa membuat laporan di pejabat keselamatan Universiti Malaya seterusnya di balai polis pantai untuk tindakan susulan.

YDP Persatuan Mahasiswa Islam Um (PMIUM), Ahmad Syazwan Muhammad Hassan menasihati mahasiswa khususnya mahasiswa baru agar lebih berhati-hati dengan keadaan ini kerana menurut pegawai keselamatan ini adalah kes ke-2 berlaku di UM.

Diharapkan agar pentadbiran kampus serta kolej kediaman agar lebih mengambil perhatian dalam hal ini dan sama-sama membantu mahasiswa yang teraniya. Keselamatan mahasiswa haruslah dititikberatkan terutamanya berkaitan barangan peribadi mahasiswa dan keselamatan mahasiswi. - UMtoday

Read more.....

Taklimat 1Malaysia Bergema di Universiti Malaya


22 Julai, Universiti Malaya : Pentadbiran Kerajaan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah memperkenalkan konsep ‘1Malaysia’ yang menggunakan slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang mana pelbagai reaksi telah diterima oleh seluruh rakyat semenjak ia diperkenalkan beberapa tahun lalu.

Ada yang bersetuju dengan konsep ini yang dilihat sesuai dengan jumlah penduduk Malaysia yang pelbagai kaum dan bangsa namun ada juga yang mempertikaikan kerana dikatakan menjalinkan kerjasama dan perjanjian dengan kerajaan Benjamin Netanyahu berikutan konsep sama yang dipakai kerajaan Israel iaitu ‘One Israel’.

Pelbagai usaha dan alternatif dibuat oleh kerajaan untuk menjelaskan kepada rakyat tentang konsep ini. Tidak ketinggalan juga golongan mahasiswa yang sering bersilih ganti di sesebuah IPTA/IPTS di seluruh negara saban tahun.

Semalam, satu taklimat berkenaan 1Malaysia telah diatur oleh kerajaan dengan Universiti Malaya. Taklimat 1Malaysia itu diadakan di Auditorium Kompleks Perdanasiswa, Universiti Malaya bermula pukul 9 malam. Tetamu khas yang diamanahkan untuk menyampaikan amanat tersebut adalah setiausaha politik PM Datuk Seri Najib, Dato’ Sahlan.

Hal Ehwal Pelajar UM telah mewajibkan kesemua mahasiswa baru serta pembantu mahasiswa sesi 2010/2011 datang ke taklimat tersebut dan pengangkutan bas telah disediakan beberapa buah oleh pihak universiti untuk memudahkan pergerakan mahasiswa namun UMtoday mendapati hanya sebahagian mahasiswa yang hadir.

UMtoday ketika menghubungi Timb. Naib Canselor HEPA UM untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara ini namun gagal apabila tiada respon diberikan. Perkara ini dilihat adalah satu diksriminasi terhadap mahasiswa kerana sebelum ini pernah berlaku beberapa orang mahasiswa dihadapkan ke mahkamah universiti atau Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) atas tuduhan menjemput wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) ke universiti untuk menghadiri atau merasmikan sesuatu program. - UMtoday.

Read more.....

Saifuddin rai Ridzuan, isteri sempena perkahwinan


wemad

22 Julai – YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi semalam meraikan majlis perkahwinan Ridzuan Muhammad, mantan YDP Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) sesi lepas (2008/2009).

Ridzuan juga bersama isteri beliau, Nurwairani Azyyati Mohd Azmin dilihat gembira dan ceria menerima kedatangan YB Saifuddin. Turut hadir dan kelihatan adalah beberapa orang rakan kedua-dua mempelai itu dalam majlis makan malam.

Pasangan itu telah diijabkabulkan pada 11 Julai yang lalu di tempat kelahiran Ridzuan, di Kelantan.

YB Saifuddin yang terkenal dengan buku ‘Kalau Saya Mahasiswa’ dan ‘Politik Baru’ bermula beberapa tahun lepas sentiasa mendampingi mahasiswa kampus terutamanya persatuan, aktiviti-aktiviti mahasiswa dan pimpinan. Kedatangan beliau ke majlis keraian pasangan ini dilihat satu tindakan yang sangat murni sebagai pemimpin negara.- UMtoday

Read more.....

Penjelasan Yuran Perpustakaan

yuran

Read more.....

Mahasiswa Terpaksa Tangguh Belajar

Kuala Lumpur, 22 Julai; Beberapa orang mahasiswa Universiti Malaya (UM) dilaporkan terpaksa menangguh pengajian mereka bagi sesi kali ini akibat masalah kewangan yang menimpa mereka.

Mereka yang tidak mahu dikenali berkata, ini antara pengorbanan paling tinggi yang perlu mereka lakukan.

Menurut mereka lagi, mereka tidak sanggup untuk meneruskan pengajian kerana bebanan yuran dan kos hidup yang tinggi. Selain terpaksa menanggung keluarga di kampung, mereka terpaksa membayar yuran Universiti yang dilaporkan naik mendadak pada sesi kali ini.

“Saya rasa sedih tidak dapat meneruskan pembelajaran sesi kali ini. Hati saya ingin sangat belajar. Namun, kerana kasihan melihat ayah dan emak saya bertungkus lumus di kampung, saya terpaksa melakukan(tangguh pembelajaran) hal ini,” keluh salah seorang dari mereka.

Menurut mereka lagi, mereka sudah beberapa kali membawa perkara ini kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUM) namun aduan mereka tidak dilayan. Bahkan jawapan yang diterima sangat mengecewakan.

"Dimana mereka badan pelajar(MPPUM)? Kenapa tidak mahu mendengar rayuan kami? Keluhan kami? Dulu janji kami itu ini, nak bela kami. Tapi sekarang, kami bagi aduan diorang tolak. Bagi jawapan macam budak-budak," soal mereka dengan nada kecewa.

UMtoday cuba mendapat respon dari beberapa orang mahasiswa yang lain dan mereka juga merasa perkara yang sama. Menurut mereka lagi, mereka terpaksa mengambil kerja sambilan diluar bagi menampung kehidupan mereka seharian. -UMtoday

Read more.....

Wednesday, July 21, 2010

Promosi Sudah Bermula


21 Julai, Universiti Malaya : Walaupun minggu promosi belum bermula, namun persiapan dan promosi setiap persatuan dan kelab pelajar di sini kelihatan rancak. Tiap mereka membuat persediaan yang hebat untuk mengajak seluruh mahasiswa menyertai mereka.

Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya akan mengadakan Program Minggu Promosi Badan Pelajar 2010 (PROMO 10’) pada 26 - 29 Julai 2010, bertempat di Tempat Letak Kenderaan, Kompleks Perdanasiswa, Universiti Malaya. Pameran ini akan berlangsung selama 4 hari bermula 26 - 29 Julai 2010, jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang.

“PEMARAK akan terus mengutamakan kebajikan mahasiswa Perak tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan demi pembangunan masa depan mahasiswa.” kata Presiden Persatuan Mahasiswa Perak (PEMARAK), Muhammad Syafaat b. Mohd Azli.

“Kami pimpinan PERMADAH kali ini akan berusaha untuk menjadikan PERMADAH persatuan paling aktif di Universiti Malaya dengan pelbagai program menarik yang bakal menanti seluruh ahli PERMADAH.” tegas Mohd Afifi B. Ismail yang juga Bendahari Persatuan Mahasiswa Kedah (PERMADAH).

Seluruh mahasiswa pasti ternanti-nanti promosi setiap persatuan dan kelab yang terdapat di sini.

“Saya ingin melihat apakah kelainan dan perbezaan yang akan ditunjukkan setiap badan pelajar kepada mahasiswa dalam Minggu PROMO kali ini” jawab Nur Raihanah Borhan, Mahasiswa Tahun Dua Fakulti Bahasa dan Linguistik ketika ditanya wakil UMtoday.

“Saya sudah pun menerima risalah promosi dan jemputan daripada PMIUM dan Kelab Fasilitator untuk mendaftar pada PROMO 10’ nanti.” kata Ahmad Idham B. Ahmad Fauzan, Mahasiswa Tahun Satu Akademi Pengajian Melayu.

UMtoday mengajak semua mahasiswa untuk turun padang ke Tempat Letak Kenderaan, Kompleks Perdanasiswa, Universiti Malaya pada 26 – 29 Julai 2010 untuk mendaftarkan diri dalam persatuan dan kelab yang berdaftar di sini. - UMtoday

Read more.....

Kenaikan Harga Barang Bebankan Mahasiswa


21 Julai, Kuala Lumpur : “Kehidupan seharian Mahasiswa terutamanya yang tinggal di luar kampus akan semakin membebankan dan kewangan Mahasiswa akan semakin menyusut.”, demikian kata Ahmad Syazwan Hassan, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya yang juga Mahasiswa Tahun Tiga Fakulti Ekonomi UM.

“Mahasiswa terutama yang menuntut ilmu di Lembah Klang dan bandar Metropolitan KL pasti akan menghadapi pengurusan kewangan yang semakin tinggi dengan harga makanan dan barangan yang semakin naik sekarang. Dengan keadaan ini, mahasiswa perlu bijak dalam menguruskan kehidupan seharian mereka selain perlu berjimat agar mempunyai sumber kewangan yang kukuh.”, ulas beliau lagi berkenaan isu kenaikan harga barangan yang diumumkan kerajaan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib 15 Julai lalu.

Kerajaan pada 15 Julai lalu mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 25 sen, diesel sebanyak 5 sen dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 1 sen kepada RM 1.85 kilogram serta petrol RON 95 naik sebanyak 5 sen.

“Kami pasti akan menghadapi kesulitan kerana seperti kita yang kita lihat, Mahasiswa mempunyai kenderaan sendiri seperti motosikal dan kereta untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan kenaikan harga minyak pasti membuatkan pergerakan kami terbatas untuk menjimatkan penggunaan minyak dan kewangan kami.”, ujar Muhammad Rusydan Muhammad Ruslan, Mahasiswa Tahun Dua Syariah dan Ekonomi Akademi Pengajian Islam UM.

Kenaikan harga barangan bukan sahaja akan membebankan kehidupan seharian mahasiswa tetapi juga seluruh rakyat di negara ini terutamanya golongan miskin dan golongan yang berpendapatan rendah.

Read more.....

Ayahanda Naib Canselor Sokong Inisiatif PMIUM


21 Julai, Universiti Malaya : “Peraturan ini dibuat selaras dengan peruntukan Kaedah 26, Kaedah-Kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar) 1999. Peraturan ini bertujuan memberi garis panduan mengenai tatacara berpakaian dan penampilan diri yang sesuai untuk dipatuhi oleh semua pelajar Universiti Malaya.” – Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya.

Titik tolak berhubung perkara di atas, Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) Sesi 2010/2011 telah mengambil langkah bijak dengan memperkenalkan “Kempen Pakaian Beretika” untuk memupuk kesedaran seluruh mahasiswa tentang pentingnya pemakaian yang sesuai dan beretika ketika berada di kampus.

Dengan inisiatif ini, PMIUM telah mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Yang Berbahagia Ayahanda Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Ghauth Jasmon untuk mendapat respon daripada ayahanda selain membincangkan beberapa perkara lain dan “Kempen Pakaian Beretika” ini ternyata telah mendapat sokongan penuh Ayahanda Naib Canselor.

“Kita memilih kempen ini adalah kerana melihat kepada permasalahan seperti berleluasanya mahasiswa memakai pakaian yang dilarang oleh universiti dalam usaha kita mencegah gejala sosial yang semakin membimbangkan khususnya mahasiswa Universiti Malaya.”, ulas Siti Nadzirah Bt Majeed, Timbalan Yang Di-Pertua PMIUM.

“Ayahanda Naib Canselor akan membantu kempen ini dengan berjanji memberi peruntukan sebanyak RM 500 dalam usaha melancarkan lagi kempen murni ini”, ujar Bendahari PMIUM, Khairul Nizam B. Mad Isa. – Umtoday.

Read more.....

Monday, July 19, 2010

Suasana Gembira dan Sedih

19 Julai, Universiti Malaya: Seperti mana yang kita ketahui, Universiti Malaya sering mengeluarkan pemimpin negara, penjawat awam dan graduan yang berkualiti dan cemerlang. Saban tahun, pasti akan datang mahasiswa baru untuk mengambil alih tempat mahasiswa yang telah menamatkan pengajian di sini.

Tinjauan Umtoday terhadap mahasiswa tahun satu UM yang sekarang ini memasuki minggu ketiga di sini mendapati pelbagai jawapan diberikan apabila ditanya perasaan sepanjang berada di UM selama 2 minggu ini. Ada yang mengatakan sedih, gembira, seronok dan sebagainya.

Menurut Ahmad Danial, 20 Tahun dari Fakulti Perakaunan dan Perniagaan, “ Saya sedih dalam gembira sebab terpaksa menempuh alam baru tanpa persediaan yang cukup untuk menghadapi dunia metropolitan di sini.”

“Saya merasa sedih sebab terpaksa tinggal jauh dengan keluarga dan perlu kuatkan diri untuk berdikari dalam menghadapi suasana baru ini.” Kata Nor Rahmiah, 19 tahun dari Fakulti Pergigian yang berasal dari Sabah.

Namun ada juga yang sangat gembira apabila ditanya tentang pengalaman sepanjang berada di sini 3 minggu. Menurut Solihin Bashir , Mahasiswa Tahun Satu Fakulti Pendidikan, beliau gembira kerana mendapat ramai kawan baru. “Saya teruja mengenali ramai kawan dari bangsa dan agama lain, seronok bersama mereka yang berlainan dari kita, kawan-kawan Cina, India, dan negara-negara lain semuanya bagus-bagus dan mesra.”, ujar saudara Solihin.

Umtoday mendapati kebanyakan mahasiswa tahun satu merasa gembira dan teruja apabila ditanya tentang peluang dapat belajar di UM untuk mengorek dan membaja ilmu di Universiti Malaya ini yang juga universiti tertua dan terulung negara. - UMtoday

Read more.....

Thursday, July 15, 2010

Speaker Corner pencak mahasiswa



14 Julai, Universiti Malaya : Bertempat di perhentian bas utama Universiti Malaya semalam telah berlangsung satu perasmian semula Speaker Corner (SC). Usaha perasmian semula ini telah di buat oleh sudara Izzudin Hilmi bersama kawan-kawannya untuk sama-sama melihat SC ini kembali hidup semula di Universiti terkemuka ini


"Inilah sekecil-kecil usaha yang saya dan beberapa orang kawan yang lain inginkan. Saya ingin sahut cabaran Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah agar Speaker Corner ini hidup semula di kampus" memetik kata-kata beliau di dalam blog nya.

Sebelum ini timbul isu yang mengatakan tempat Speaker Corner tidak berapa sesuai kerana diletakkan di tempat yang jarang dilalui orang.Untuk apa diletakkan di tempat sedemikian jika tujuan sebenar speaker corner adalah untuk mahasiswa menyuarakan pendapat mereka tanpa halangan sesiapa.

Oleh itu, dengan perasmian semula speaker corner ini diharap mahasiswa boleh mengambil bahagian sekaligus boleh menyatakan pendirian masing-masing tanpa dikongkong oleh pihak pentadbiran mahupun pihak luar.-Umtoday

Read more.....

Ramah Mesra pelajar baru di API



8 Julai,Universiti Malaya : Sempena berlangsungnya Minggu Haluan Siswa baru-baru ini, satu slot bersama pelajar baru Akademi Pengajian Islam telah berlangsung di Dewan kuliah utama API dihadiri oleh sebahagian pimpinan Yb Pro-M dan Ydp Persatuan Akademi Pengajian Islam UM.


Slot itu bertujuan untuk beramah mesra bersama pelajar-pelajar baru sekaligus memberi informasi varsiti kepada mereka agar memudahkan perjalan pembelajaran di Universiti Malaya.Antara aktivit yang diadakan seperti sesi pengenalan Ydp Persatuan Akademi Pengajian Islam UM saudara Syahid Mohd Zaini, sesi ke makmal untuk mendaftar kos dan sebagainya.

Saudara Syahid ketika sesi taklimat itu mengharapkan agar pelajar-pelajar baru akan lebih selesa apabila berada di UM dan lebih bersemangat untuk menimba ilmu di APIUM.

"Belumba-lumbalah mendalami ilmu dan jangan lah berlumba-lumba mendekati zina" ujar beliau.

Beliau juga mengulas dengan mengatakan bahawa pointer bukan lah segala-galanya dalam pelajaran, apa yang lebih penting adalah ilmu itu sendiri.-Umtoday







Read more.....

Monday, July 12, 2010

PENDAKWARAYA GAGAL BUKTIKAN; TERTUDUH DIBEBAS MAJESTRAIT


Kuala Lumpur- Mahkamah Majestrait 4 pagi ini memutuskan bahawa Mohamad Izzuddin Hilmi Bin Mohamad Zaini, salah seorang dari 5 tertuduh dalam kes contengan Puaka Rosmah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya tahun lepas dibebas tanpa perlu dipanggil untuk membela diri.


Hakim berkenaan, Puan Hafizza Binti Sauni memutuskan perkara tersebut pada jam 10.15 pagi tadi apabila berpuas hati bahawa pihak pendakwaraya gagal membuktikan wujudnya prima facie perbicaraan tersebut. Perbicaraan yang telah berlangsung pada 24 dan 25 Jun lepas telah memanggil 5 orang saksi bagi membantu pihak pendakwaan membuktikan tuduhan tersebut.

Mangikut keterangan yang diberi tertuduh dipercayai menunggang motorsikal yang dipercayai milik beliau dalam keadaan yang mencurigakan apabila nombor pendaftaran motorsikal tersebut digelapkan. Tertuduh ditahan di hadapan kolej kediaman ke 12 oleh beberapa pengawal keselamatan yang bertugas pada malam itu.

Berikut penahanan tersebut, tertuduh telah diserahkan ke pihak polis untuk direman selama seminggu. Tertuduh juga direman bagi membantu siasatan berhubung kes contengan serta simbahan minyak petrol di laluan masuk Dewan Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada 24 Jun 2009.

Bagi tuduhan menggelapkan nombor pendaftaran motorsikal, beliau bersama-sama seorang rakan iaitu Mohd Shahruldeen Bin Ahmad Rosli telah dihadapkan ke Mahkamah Majestrait 4 pada 1 Julai 2009. Tuduhan dibacakan di bawah Seksyen 14(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan dan boleh dihukum denda maksimum RM300.

Namun pada tarikh 24 Jun 2010 iaitu genap setahun kes tersebut berlaku, pihak pendakwaraya bersetuju menggugurkan pertuduhan terhadap tertuduh kedua, Mohd Shahruldeen Bin Ahmad Rosli atas alasan tiada sebarang bukti yang dapat dikaitkan terhadap beliau. Perbicaraan diteruskan terhadap tertuduh pertama iaitu Mohamad Izzuddin Hilmi.

Bagi tuduhan contengan serta simbahan petrol, mereka beserta 3 tertuduh yang lain iaitu Syazni Munir Bin Mohh Ithnin, Mohd Aizat Bin Roslan dan Mohd Saufi Bin Jelani dituduh di Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang membawa hukuman dua tahun penjara, Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan mengakibatkan maksimum 10 tahun penjara dan Seksyen 447 iaitu kesalahan melakukan pencerobohan jenayah.

Sepanjang perbicaraan di Mahkamah Majestrait, pihak pendakwaan gagal dalam membuktikan kesalahan menggelapkan nombor pendaftaran kenderaan tersebut dilakukan oleh tertuduh. Begitu juga Pegawai Penyiasat yang mengaku cuai dalam menyimpan nombor pendaftaran yang didakwa digelapkan sehingga menyebabkan bukti utama dalam perbicaraan tersebut hilang dalam simpanan.

Ketika ditanya kepada Encik Arfizi Bin Ramli selaku peguambela, beliau mengatakan terdapat beberapa perkara yang turut disangsikan oleh mahkamah sepanjang perbicaraan.

Antara yang ditimbulkan ialah penahanan secara tidak sah oleh pengawal keselamatan yang tidak mempunyai kuasa menahan pesalah trafik. Turut juga ditimbulkan percanggahan yang ketara antara laporan polis yang dibuat oleh pengadu dengan keterangan yang dirakam di mahkamah.

Menurut Izzuddin Hilmi tertuduh utama yang telah dibebaskan, keputusan Mahkamah majestrait pada hari ini yang telah menggugurkan satu dari empat pertuduhan terhadap mereka merupakan kemenangan pertama mereka dalam perbicaraan ini.

Perbicaraan yang terhadap 3 lagi tuduhan akan diteruskan di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 pada 28 Julai ini.

Sumber: izzudinhilmi.blogspot.com















Read more.....

Sunday, July 11, 2010

" Selamat memulakan semester dengan azam yang baru "




11 Julai, Universiti Malaya: YDP Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam Uni Malaya (PMAUM) Mohd Syahid Mohd Zaini, hari ini mengucapkan selamat memulakan semester baru khasnya kepada pelajar-pelajar baru.


Beliau mengharapkan dengan permulaan semester baru ini akan dapat memberikan semangat dan azam yang baru kepada semua pelajar. Disamping itu, beliau mengharapkan agar ' freshie-freshie' yang baru memulakan kehidupan di alam kampus Universiti Malaya agar sentiasa komited dalam pelajaran di samping aktif dalam kegiatan Universiti.

" Saya berharap semoga lembaran baru dan semangat yang baru ini akan dapat memberikan momentum yang padu dalam menjalani perit getir perjuangan sebagai mahasiswa di Universiti Malaya "

Dikesempatan itu juga, beliau mengharapkan agar mahasiswa baru terutamanya daripada Akademi Pengajian Islam (API) agar dapat membawa satu imej yang baik kepada masyarakat kampus sekaligus memberi contoh teladan yang menjadi ikutan warga kampus.

Beliau juga memegang jawatan didalam MPMUM sesi 09/10 sebagai exco kebajikan dan aduan.Umtoday



Read more.....

Saturday, July 10, 2010

DTC UM seperti disko!.

Oleh : Muhammad Saufi bin Jelani*

Hari ini, genap seminggu mahasiswa baru Universiti Malaya mengikuti Minggu Haluan Siswa. Dan hari ini juga merupakan hari terakhir minggu orientasi tersebut. Sepanjang minggu ini juga jiwa dan perasaan saya kacau memikirkan ‘nasib’ adik-adik yang berada dalam ‘tahanan hedonisme’. Kasihan. Mungkin mereka senasib dengan saya seperti suatu masa dahulu atau lebih lagi.

Belum pun genap seminggu minggu orientasi, sudah bertalu-talu mesej yang dihantar oleh adik-adik. Kebanyakan daripada mereka adalah junior ketika di program asasi Nilam Puri. Ada yang bernada terkejut, risau, sedih malah ada juga yang menyatakan mahu pulang ke rumah. Namun, saya hanya membalas, ‘biasa saja tu’.

Tetapi, di antara mesej-mesej yang dihantar kepada saya, ada juga yang luar biasa. Saya terkejut apabila ada mahasiswa yang baru sahaja saya kenali ketika beramah mesra pada hari pertama MHS memberitahu saya :

“Bang, saya rasa DTC UM sudah seperti DISKO!”

Melampau. Benci. Meluat. Mahasiswa tersebut meluah rasa.

“Saya rasa menyesal menerima tawaran UM. Saya assume universiti ini adalah antara universiti terbaik yang mementingkan keintelektualan, rupanya tidak!”

Saya mendapat tamparan hebat. Saya sudah mengagak bahawa MHS kali ini lebih teruk berbanding dahulu. Para ‘tahanan’ bagai dipenjara dengan ‘penjara hedonisme’. Mereka dihidangkan dengan aktiviti-aktiviti tidak berfaedah dan langsung tidak dilayan seperti mahasiswa.

Saya sudah meluat untuk berulang-kali menyebut mengenai cheers, stupid debate, pertandingan ‘baling bantal’, teka-teki gosip artis dan pelbagai aktiviti lain. Mengapa hingga sekarang pihak pentadbiran universiti masih mendiamkan diri dan membenarkan aktiviti ’sampah’ ini dijalankan?

Cuba anda bayangkan, bagaimana pertandingan-pertandingan sebegini diadili oleh seorang artis? Ini Universiti Malaya atau Akademi Fantasia? Bagaimana minggu orientasi sebuah universiti sama seperti program ujibakat program realiti di tv?

Tentu para ibu bapa begitu gembira menyambut khabar tawaran kemasukan anak-anak mereka ke universiti ini. Sudah tentu juga ibu bapa turut menyimpan harapan dengan berakhirnya tempoh pengajian mereka nanti anak-anak mereka sudah tersedia menjadi pemimpin-pemimpin masa depan.

Malangnya, belum pun sampai 1 semester, para mahasiswa sudah didoktrin dengan pelbagai aktiviti hiburan yang menjadi rutin harian. Para ibu bapa, tahukah pada masa ini intelektual sudah dibunuh?

Tidakkah sepatutnya budaya intelektual dijulang tinggi oleh universiti? Tidak cukup universiti hanya menyediakan para pensyarah berkualiti lulusan doktor falsafah atau ijazah. Tidak cukup juga hanya menyediakan bilik kuliah kondusif dan dilengkapi teknologi. Universiti seharusnya menyediakan pendidikan setaraf dengan daya fikir, daya inovasi dan daya keintelektualan mahasiswa.

Saya memetik kata-kata Dato’ Saifuddin Abdullah :

“Kita juga berusaha mewujudkan iklim yang kondusif untuk membangunkan intelektual dan meningkatkan peranannya. Antaranya ialah melonjakkan budaya ilmu, menggalakkan debat, merancakkan penyelidikan dan memperbanyakkan penulisan.”

Persoalannya, di mana?

Kepada Kementerian Pengajian Tinggi, para pemimpin negara, para ibu bapa dan seluruh masyarakat, jika ‘penjara hedonisme’ ini berterusan tunggulah saat tiba masanya kehancuran bangsa dan negara!

*Penulis merupakan mahasiswa Tahun 3 Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Ketua Pengarah Exco Patriotik dan Kenegaraan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) merangkap Pengerusi Pro-Mahasiswa.Oleh : Muhammad Saufi bin Jelani*

Hari ini, genap seminggu mahasiswa baru Universiti Malaya mengikuti Minggu Haluan Siswa. Dan hari ini juga merupakan hari terakhir minggu orientasi tersebut. Sepanjang minggu ini juga jiwa dan perasaan saya kacau memikirkan ‘nasib’ adik-adik yang berada dalam ‘tahanan hedonisme’. Kasihan. Mungkin mereka senasib dengan saya seperti suatu masa dahulu atau lebih lagi.

Belum pun genap seminggu minggu orientasi, sudah bertalu-talu mesej yang dihantar oleh adik-adik. Kebanyakan daripada mereka adalah junior ketika di program asasi Nilam Puri. Ada yang bernada terkejut, risau, sedih malah ada juga yang menyatakan mahu pulang ke rumah. Namun, saya hanya membalas, ‘biasa saja tu’.

Tetapi, di antara mesej-mesej yang dihantar kepada saya, ada juga yang luar biasa. Saya terkejut apabila ada mahasiswa yang baru sahaja saya kenali ketika beramah mesra pada hari pertama MHS memberitahu saya :

“Bang, saya rasa DTC UM sudah seperti DISKO!”

Melampau. Benci. Meluat. Mahasiswa tersebut meluah rasa.

“Saya rasa menyesal menerima tawaran UM. Saya assume universiti ini adalah antara universiti terbaik yang mementingkan keintelektualan, rupanya tidak!”

Saya mendapat tamparan hebat. Saya sudah mengagak bahawa MHS kali ini lebih teruk berbanding dahulu. Para ‘tahanan’ bagai dipenjara dengan ‘penjara hedonisme’. Mereka dihidangkan dengan aktiviti-aktiviti tidak berfaedah dan langsung tidak dilayan seperti mahasiswa.

Saya sudah meluat untuk berulang-kali menyebut mengenai cheers, stupid debate, pertandingan ‘baling bantal’, teka-teki gosip artis dan pelbagai aktiviti lain. Mengapa hingga sekarang pihak pentadbiran universiti masih mendiamkan diri dan membenarkan aktiviti ’sampah’ ini dijalankan?

Cuba anda bayangkan, bagaimana pertandingan-pertandingan sebegini diadili oleh seorang artis? Ini Universiti Malaya atau Akademi Fantasia? Bagaimana minggu orientasi sebuah universiti sama seperti program ujibakat program realiti di tv?

Tentu para ibu bapa begitu gembira menyambut khabar tawaran kemasukan anak-anak mereka ke universiti ini. Sudah tentu juga ibu bapa turut menyimpan harapan dengan berakhirnya tempoh pengajian mereka nanti anak-anak mereka sudah tersedia menjadi pemimpin-pemimpin masa depan.

Malangnya, belum pun sampai 1 semester, para mahasiswa sudah didoktrin dengan pelbagai aktiviti hiburan yang menjadi rutin harian. Para ibu bapa, tahukah pada masa ini intelektual sudah dibunuh?

Tidakkah sepatutnya budaya intelektual dijulang tinggi oleh universiti? Tidak cukup universiti hanya menyediakan para pensyarah berkualiti lulusan doktor falsafah atau ijazah. Tidak cukup juga hanya menyediakan bilik kuliah kondusif dan dilengkapi teknologi. Universiti seharusnya menyediakan pendidikan setaraf dengan daya fikir, daya inovasi dan daya keintelektualan mahasiswa.

Saya memetik kata-kata Dato’ Saifuddin Abdullah :

“Kita juga berusaha mewujudkan iklim yang kondusif untuk membangunkan intelektual dan meningkatkan peranannya. Antaranya ialah melonjakkan budaya ilmu, menggalakkan debat, merancakkan penyelidikan dan memperbanyakkan penulisan.”

Persoalannya, di mana?

Kepada Kementerian Pengajian Tinggi, para pemimpin negara, para ibu bapa dan seluruh masyarakat, jika ‘penjara hedonisme’ ini berterusan tunggulah saat tiba masanya kehancuran bangsa dan negara!

*Mahasiswakini.com.
____________________________
*Penulis merupakan mahasiswa Tahun 3 Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Ketua Pengarah Exco Patriotik dan Kenegaraan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) merangkap Pengerusi Pro-Mahasiswa.

Read more.....